HANOI – Harga hartanah yang melambung tinggi di bandar-bandar utama Vietnam menyebabkan ramai pasangan muda tidak mampu untuk menyewa atau membeli rumah, lapor laman berita VNExpress kelmarin.
Menurut penganalisis hartanah tempatan, Le Quoc Kien, pasangan muda yang mana ibu bapa mereka memiliki rumah di Hanoi dan Bandar Ho Chi Minh, biasanya tidak mempunyai pilihan melainkan tinggal bersama keluarga untuk menjimatkan wang.
Dengan purata gaji bulanan antara 10 juta dong (RM1,740) hingga 15 juta dong (RM2,600) untuk pasangan baru berkahwin, pemilikan rumah menjadi impian yang sukar untuk dicapai.
Laporan terbaharu firma penyelidikan hartanah, Global Property Guide meletakkan Hanoi sebagai bandar ke-11 paling mahal di Asia bagi menyewa hartanah.
Purata sewa untuk unit kediaman dengan dua bilik tidur mencecah 18.2 juta dong (RM3,200), mengatasi Kuala Lumpur, Jakarta dan Mumbai.
Buletin Persatuan Realtors Vietnam (VARS) menyatakan, harga yang melebihi pertumbuhan pendapatan penduduk menyebabkan pemilikan rumah menjadi semakin sukar.
VARS menganggarkan, untuk membeli apartmen dengan harga purata di Hanoi, isi rumah perlu memperoleh pendapatan antara 45 juta dong (RM7,800) hingga 210 juta dong (RM37,000) sebulan atau 2.3 hingga 10 kali ganda pendapatan sebenar kebanyakan warga kota.
Pengerusi VARS, Nguyen Van Dinh mengaitkan harga yang melambung tinggi itu dengan kekurangan bekalan ekoran sikap pemaju memberi tumpuan kepada pembeli dan pelabur berpendapatan tinggi. – AGENSI