fbpx

Pura-pura mahu pinjam buku sebelum samun gelang emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Motosikal dirampas polis daripada suspek kes samun di Padang Besar, semalam.

PADANG BESAR – Seorang lelaki tidak sempat berjoli apabila dicekup kira-kira enam jam setelah menyamun gelang emas milik pembantu perpustakaan desa di Kampung Tersusun, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku di perpustakaan desa kampung itu pada pukul 9.40 pagi semalam.

“Wanita berusia 39 tahun terbabit didatangi suspek yang bertindak mengacukan pisau dan memaksa mangsa menyerahkan seutas gelang emas bernilai RM10,000. Suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek yang merupakan pekerja swasta tidak mengenali mangsa, namun sudah biasa dengan kawasan berkenaan kerana pernah pergi ke perpustakaan itu.

“Suspek pada hari kejadian pergi ke perpustakaan itu dengan alasan mahu meminjam buku untuk anaknya. Dalam masa kira-kira 10 minit selepas itu, suspek kembali semula sebelum bertindak menyamun mangsa,” ujarnya.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis berjaya menahan suspek di Kampung Kolam, di sini pada pukul 3.40 petang, hari sama.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan samun seorang diri dan telah menjual barang kemas itu di sebuah kedai emas di Jitra, Kedah,” jelasnya.

Menurutnya, polis turut merampas wang hasil jualan bernilai RM8,050 yang disimpan dalam akaun bank dan RM1,880 wang tunai bersama telefon bimbit, kenderaan serta pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI