BOLOGNA – Pengendali AC Milan, Sergio Conceicao membidas kritikan yang mendakwa anak-anak buahnya semakin ‘hanyut’ selepas tewas mengejut 1-2 kepada Bologna pada aksi Serie A di Stadium Renato Dall’Ara awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, rentak sumbang Rossoneri sejak bulan lalu berterusan selepas pasukan tuan rumah berjaya meraih gol menerusi ledakan Santiago Castro dan Dan Ndoye, manakala pelawat meraih jaringan sagu hati hasil penyudah Rafael Leao.
Menurut Conceicao, kritikan diberikan bahawa taktikal diterapkannya agak ‘lapuk’ sehingga beliau dikatakan tidak akan bertahan lama bersama Milan menjadi tuduhan yang melampau.
“Saya agak kecewa apabila ramai pihak mula mempersoal kredibiliti saya sebagai jurulatih hingga mampu menjejaskan masa depan saya di sini. Ini adalah perkara yang tidak wajar kerana saya bukan ‘kosong’ sebelum hadir di Milan.
“Saya menang 13 trofi bersama kelab sebelum ini dan membantu pasukan beraksi lebih 100 aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Segala cemuhan adalah tidak adil dan biar masa tentukan kualiti yang ada pada pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali Bologna, Vincenzo Italiano berharap kemenangan tersebut dapat menaikkan semangat pasukan untuk memburu slot kelayakan ke pentas UCL musim depan apabila menduduki tangga keenam Serie A ketika ini.
“Kami berada di kedudukan yang positif dan jika pemain kekal konsisten, mungkin peluang untuk beraksi ke UCL semakin cerah. Mengenai perlawanan kali ini, jelas sekali pasukan kami lebih baik berbanding lawan,” katanya. – AGENSI