fbpx

Penjawat awam Selangor pulang awal 30 minit sepanjang Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Penjawat awam Selangor dibenarkan pulang setengah jam lebih awal sepanjang Ramadan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan mengguna pakai pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF).

Katanya, ini seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Perkeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Pelaksanaan Waktu WBF di agensi Kerajaan Persekutuan.

“Selaras dengan pemakaian tersebut, Kerajaan Negeri memberi fleksibiliti kepada kakitangan di bawah pentadbiran ini dengan
mengurangkan waktu rehat selama 30 minit dalam bulan Ramadan.

“Ini bagi membenarkan kakitangan meninggalkan pejabat 30 minit lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, berdasarkan jadual pelaksanaan WBF bulan Ramadan waktu masuk bekerja antara pukul 7 hingga 9 pagi.

Waktu rehat bagi Isnin hingga Khamis antara pukul 1 hingga 1.30 tengah, manakala Jumaat bermula pukul 12.30 hingga 2.30 petang. Sementara waktu pulang adalah pada pukul 4 hingga 5.30 petang.

Kesemua tertakluk dengan memenuhi tempoh waktu bekerja, sembilan jam sehari.

“Pelaksanaan WBF ini tidak akan menjejaskan operasi kaunter perkhidmatan di semua jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

“Waktu operasi kaunter kekal seperti biasa bagi memastikan kelancaran urusan rakyat tanpa sebarang perubahan atau gangguan,” katanya.

Jelas beliau, pelaksanaan WBF ini bukan sahaja bertujuan untuk memberikan fleksibiliti kepada penjawat awam sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga sebagai langkah menjaga kebajikan mereka agar dapat menjalankan tugas dengan lebih selesa dan seimbang sepanjang tempoh berpuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI