KANGAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang penganggur yang dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap bapa kandung dengan parang supaya menjalani penilaian psikiatri.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi memerintahkan demikian ke atas Anuar Halim, 45, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad memaklumkan tertuduh adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.
Nabilah juga memohon mahkamah merujuk Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan penilaian psikiatri dilakukan ke atas tertuduh.
Hakim Nu’aman kemudian mengarahkan tertuduh ditahan selama satu bulan bagi menjalani penilaian psikiatri dan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Mac depan.
Difahamkan suspek yang hanya berkain pelekat dan berbaju T berwarna hijau akan dibawa terus ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk penilaian mental oleh pakar psikiatri.
Terdahulu, ketika prosiding, Anuar yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Hapiz Rajali mampu membaca nombor kad pengenalan dengan betul.
Dia kemudian mengangguk faham sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Anuar dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan sebilah parang terhadap bapanya, Halim Lebai Othman, 73, yang boleh menyebabkan kematian. – KOSMO! ONLINE