BANGKOK – Thailand akan memperkenalkan cukai pelancongan sebanyak 300 baht (RM39) terhadap pelancong asing menjelang akhir 2025, lapor portal berita Thaiger semalam.
Cukai baharu itu dijangka mencetuskan perdebatan mengenai kesannya terhadap industri pelancongan.
Menteri Pelancongan dan Sukan, Sorawong Thienthong mengesahkan bahawa bayaran itu dijangka berkuat kuasa semasa musim kebanjiran pelancong asing di Thailand, sekiranya diluluskan dan diterbitkan dalam Warta Diraja menjelang Mac ini.
Cukai itu akan dikenakan kepada semua pelancong asing yang tiba melalui laluan udara. Mereka akan dikenakan bayaran 300 baht setiap seorang.
Pelawat yang masuk melalui jalan darat atau air juga akan dikenakan bayaran tersebut.
Sorawong memberi jaminan bahawa sistem baharu itu akan menawarkan perkhidmatan sehenti bagi menyelaraskan proses pembayaran untuk pengembara asing.
Cukai itu adalah untuk menyediakan insurans hayat dan kemalangan kepada semua pelancong asing yang memasuki Thailand. – AGENSI