KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara memulakan aksi siri persahabatan pertama menentang Afrika Selatan dengan kekalahan tipis 1-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim tetap melihat banyak aspek positif daripada persembahan anak buahnya.
Perlawanan menentang pasukan yang berpengalaman di pentas antarabangsa itu menjadi medan penting buat barisan kejurulatihan menilai prestasi pemain lama dan baharu selepas kali terakhir beraksi ketika Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di India pada Disember lalu.
Menurut Nasihin, secara keseluruhan pemain mempamerkan aksi yang baik meskipun baru kembali menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini.
“Ini kali pertama mereka berkumpul dan bermain selepas ACT di India. Saya nampak prestasi hari ini sebenarnya tidaklah terlalu mengecewakan walaupun kita kalah.
“Cuma sayangnya kita terlepas banyak peluang di depan gawang, itu yang membezakan keputusan hari ini. Kalau kita lebih tajam, saya rasa keputusan boleh berpihak kepada kita,” katanya kepada Kosmo! selepas tamat aksi itu.
Dalam aksi tersebut, dua gol Afrika Selatan berpunca daripada kelemahan pertahanan yang kurang berdisiplin, sesuatu yang bakal menjadi fokus utama menjelang aksi kedua esok.
“Kita kena lebih berdisiplin dalam bertahan, terutama di kawasan D. Ini kelemahan ketara yang perlu diperbaiki segera kalau kita mahu menang esok,” tambahnya.
Dari segi barisan pemain, Nasihin turut menjelaskan dia menggunakan gabungan pemain muda dan senior dalam perlawanan ini, selain memberi peluang kepada dua wajah baharu untuk membuktikan kemampuan mereka.
Malah, Nasihin turut mendedahkan bakal memanggil semula dua bekas pemain senior kebangsaan yang tampil cemerlang dalam saingan MHL untuk disenaraikan dalam aksi persahabatan seterusnya.
“Dua bekas pemain senior ini sebenarnya dah lama bersara daripada skuad kebangsaan, tetapi selepas melihat prestasi mereka yang konsisten di MHL, kami panggil mereka semula,” ujarnya.
Siri empat perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan ini menjadi platform penting untuk Malaysian Tigress menguji kekuatan menjelang kejohanan lebih besar tahun ini, selain terus memperkemaskan skuad terbaik bagi musim 2025. – KOSMO! ONLINE