KULAI – Seorang lelaki Bangladesh ditahan kerana melakukan perbuatan khianat terhadap seekor anjing di sebuah kawasan rumah kedai, di Senai, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh seorang lelaki tempatan yang membuat laporan polis.
Menurut beliau, kejadian tersebut turut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial.
“Suspek yang merupakan seorang pekerja kilang telah berjaya ditahan di tepi jalan Taman Seri Senai, di sini pada pukul 7.40 malam semalam.
“Pemeriksaan terhadap anjing tersebut mendapati ia haiwan itu berada dalam keadaan stabil dan bawah jagaan seorang lelaki tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, manakala orang awam juga diingatkan agar tidak melakukan sebarang penganiayaan terhadap haiwan,
Terdahulu, tular di media sosial sebuah rakaman video memaparkan seorang lelaki bertindak memukul seekor anjing beberapa kali dengan sebatang kayu. – KOSMO! ONLINE