PENDIDIKAN merupakan satu aspek yang penting dalam melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.
Oleh yang demikian, menjadi hasrat semua orang untuk melanjutkan pengajian dan mendapatkan pendidikan sehingga peringkat tertinggi.
Namun, tidak dapat dinafikan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sememangnya memerlukan sejumlah kos yang perlu dibayar.
Justeru, simpanan untuk pendidikan ketika ini amat penting bagi membolehkan seseorang itu melanjutkan pengajian.
Profesor di Jabatan Kewangan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan berkata, pembiayaan untuk pendidikan pada masa hadapan akan terus meningkat jika kita mengambil kira kos inflasi untuk pendidikan.
Menurutnya, perancangan kewangan selalunya akan menganggarkan kos inflasi untuk pendidikan sekitar empat hingga lima peratus setahun.
“Jika kita membuat anggaran dengan kos inflasi tersebut, dalam masa 15 tahun ke hadapan, jumlah pembiayaan untuk pendidikan sudah pasti tidak sama seperti hari ini.
“Oleh itu, simpanan untuk pendidikan pada ketika ini amat penting,” katanya.
Tambahnya, masyarakat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan seperti biasiswa yang diberikan kerajaan untuk melanjutkan pengajian kerana persaingan untuk mendapatkannya amat kompetitif.
Dalam masa yang sama, peluang untuk melanjutkan pengajian di universiti awam juga kini terhad dan sudah semestinya universiti swasta akan menjadi pilihan, namun ia melibatkan kos lebih tinggi.
Oleh itu, ibu bapa perlu merancang dengan baik untuk menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak pada masa hadapan.
Dalam hal ini, simpanan pendidikan menjadi sangat penting dalam memastikan kos untuk pendidikan tinggi buat anak-anak dapat ditanggung tanpa beban kewangan yang berat.
Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang disediakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat membantu ibu bapa menyimpan untuk pendidikan anak-anak.

Nurul Shahnaz berkata, Simpan SSPN menjadi satu bentuk instrumen simpanan yang sesuai untuk tujuan pendidikan kerana merupakan satu bentuk simpanan yang selamat kerana disokong oleh kerajaan.
Malah, risiko menyimpan di Simpan SSPN juga rendah.
“Selain itu, Simpan SSPN menggunakan kaedah pelaburan patuh syariah yang membolehkan pemberian dividen kompetitif setiap tahun, sudah pastinya akan mengembangkan simpanan kita.
“Di samping itu, dengan menyimpan di Simpan SSPN, pendeposit akan mendapat pelepasan taksiran cukai sebanyak RM8,000,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif berkenaan merupakan satu insentif yang baik untuk menggalakkan ibu bapa menyimpan di dalam Simpan SSPN.
Sementara itu, simpanan di Simpan SSPN juga dapat memupuk disiplin menabung dalam kalangan ibu bapa muda dengan anak kecil yang sedang membesar.
Nurul Shahnaz berkata, ibu bapa perlu membuat perancangan awal untuk pendidikan anak-anak dan hal ini dapat dipenuhi dengan amalan menabung.
“Selain itu, Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang menarik.
“Masyarakat perlu sedar bahawa Simpan SSPN ini juga mempunyai perlindungan takaful, yang mana sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini kepada ibu bapa yang menabung, waris mereka akan mendapat manfaat,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Zulkhairi Kamaruzaman melihat simpanan untuk pendidikan amat penting, malah dia sendiri memilih untuk menyimpan di Simpan SSPN sejak tahun 2008 lagi untuk anak sulungnya.
Menurutnya, inisiatif itu diteruskan sehingga kini untuk kelima-lima orang anaknya.
“Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk menyimpan di Simpan SSPN, antaranya ialah simpanan ini dapat digunakan apabila anak-anak melanjutkan pengajian kelak.
“Selain itu, melalui simpanan ini saya mendapat pelepasan taksiran cukai dari kerajaan dan simpanan Simpan SSPN turut menjanjikan dividen yang kompetitif berbanding simpanan biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zulkhairi sempat menitip pesan buat ibu bapa di luar sana supaya mengasingkan sebahagian daripada gaji untuk simpanan pendidikan anak-anak.
“Pada saya simpanan pendidikan ini adalah sebagai persediaan awal untuk kita sendiri sebagai ibu bapa supaya tidak terasa terbeban apabila anak-anak mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian kelak,” jelasnya.
Tambahnya, dengan simpanan pendidikan yang dilakukan dari awal, ia sedikit sebanyak dapat membantu untuk mengelak daripada melakukan pinjaman untuk melanjutkan pengajian.

Dalam pada itu, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali yang juga merupakan seorang pempengaruh turut berpandangan sama dalam soal simpanan pendidikan.
Menurutnya, kos untuk pendidikan ketika ini dirasakannya agak tinggi dan untuk masa hadapan, ia pasti akan meningkat.
“Simpanan untuk pendidikan merupakan satu cara terbaik kerana dalam masa yang sama, kita dapat manfaat dari segi dividen dan sebagainya berbanding melakukan pinjaman.
“Saya sendiri tertarik dengan tawaran cabutan hadiah yang disediakan oleh Simpan SSPN, selain menyimpan kita berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik,” jelasnya yang memiliki lebih 250,000 pengikut di TikTok.
Bagi menghargai masyarakat kerana memilih Simpan SSPN, PTPTN mengadakan kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025.
Ia menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.5 juta untuk 550 pemenang dan kempen ini meliputi Cabutan WOW! Tahunan, Cabutan WOW! Gong Xi Raya dan Cabutan WOW! Superheroes.
Untuk maklumat lanjut layari www.ptptn.gov.my.