fbpx

Kadar Zakat Fitrah Johor RM7 hingga RM20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD FARED (tengah) Nooh (kiri) dan Hasrin menunjukkan kadar Zakat Fitrah Negeri Johor bagi tahun 1446H/2025M sempena Pelancaran Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Pengumuman Kadar Zakat Fitrah di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan Zakat Fitrah bagi tahun 2025 bersamaan 1446H di negeri ini pada tiga kadar bermula RM7, RM12 dan RM20.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pengumuman tiga kadar pembayaran zakat fitrah di Johor berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini.

Menurutnya, kadar diambil kira mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

“RM7 dikhususkan kepada umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super tempatan, manakala RM12 bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras import.

“RM20 pula kepada umat Islam di negeri Johor yang menjadikan makanan hariannya beras Super Wangi dan beras Basmathi.

“Bagaimanapun, rakyat yang menjadikan beras jenis super tempatan sebagai makanan harian, namun terpaksa membeli beras import berikutan tiada bekalan di pasaran boleh membayar pada kadar lebih rendah iaitu RM7,” katanya.

Beliau berkata demikiann ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Hasrin Kamal Hashim dan Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot.

Dalam pada itu, Mohd. Fared berkata, seramai 1,637 amil telah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di Johor.

“Pembayaran zakat fitrah boleh ditunaikan menerusi tiga cara iaitu menerusi pembayaran secara atas talian dan aplikasi TULUS, atau terus ke kaunter MAINJ di setiap cawangan atau daerah, atau boleh membayar kepada amil dilantik.

“Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum hari raya,”tambahnya.

Ujarnya, MAINJ mengunjurkan RM29.32 juta pungutan zakat fitrah yang dikutip membabitkan 2.51 juta umat Islam di negeri ini.

“Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu ini, iaitu dengan mengambil 36 peratus adalah pembayar bayar bagi RM7 dan 45 peratus bagi pembayar RM12 serta 18 peratus adalah pembayar bagi RM20,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI