TURIN – Pasukan ketiga tercorot Serie A, Empoli mencipta kejutan terbesar apabila menyingkirkan Juventus menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 dalam aksi suku akhir Piala Itali di Stadium Allianz awal pagi semalam.
Pengendali Juventus, Thiago Motta berang dengan kekalahan tersebut sambil menyifatkan kegagalan pemainnya menampilkan prestasi sebenar dalam babak pertama menjadi punca kekalahan itu.
“Saya rasa sangat malu dengan apa yang disajikan pada babak pertama dan saya harap pemain juga mempunyai perasaan sama.
“Sikap memalukan. Mungkin saya salah kerana tidak menekankan kepentingan piala ini kepada pemain dan makna menyarung jersi Juventus. Kami buat kesilapan dan itu puncanya kami gagal ke separuh akhir.
“Kami perlu bermula semula, berikan yang terbaik ketika sesi latihan dan hormati tempat serta sejarah kelab ini,” kata Motta.
Dalam aksi itu, Empoli mendahului hasil jaringan Youssef Maleh pada awal babak pertama ketika Juventus bergelut menembusi pertahanan lawan sebelum rehat.
Bagaimanapun, Khephren Thuram menyamakan kedudukan buat Juventus pada babak kedua sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Penyerang Juventus, Dusan Vlahovic terlepas sepakan penalti pertama dan penjaga gol Empoli, Devis Vasquez menyelamatkan rembatan Kenan Yildiz untuk membantu kemenangan skuad bimbingan Luca Marianucci. – AGENSI