KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Jeffer Rosobin sudah pun menamatkan khidmatnya sebagai jurulatih perseorangan wanita negara.
Pengendali dari Indonesia itu dikatakan terpaksa mengambil keputusan untuk mengundurkan diri bagi memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengalungkan sepenuh penghargaan terhadap khidmat yang sudah diberikan Jeffer sejak menyertai BAM pada 2023.
“Jeffer merupakan salah seorang individu yang cukup berharga dalam barisan kejurulatihan atas komitmen serta kepakaran beliau dalam program remaja.
“Tunjuk ajar yang diberikan merupakan kunci utama dalam perkembangan ramai pemain muda berbakat. Walaupun sedih tetapi kami menghormati keputusannya,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan BAM hari ini.
Sementara itu, Jeffer juga menyuarakan rasa bangga kerana diberikan peluang membantu perkembangan badminton Malaysia selain mengakui sukar membuat keputusan tersebut.
“Satu penghormatan untuk saya dapat bekerja bersama BAM dan menjadi sebahagian daripada pembangunan badminton Malaysia. Terima kasih atas sokongan yang diberikan selama ini.
“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah tetapi keluarga amat memerlukan saya sekarang. Saya sentiasa bersyukur sepanjang berada di Malaysia dan berharap pemain-pemain mencapai kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya.
Sebagai rekod, Jeffer menyertai BAM pada 2023 selaku ketua jurulatih skuad remaja sebelum dinaikkan pangkat sebagai jurulatih perseorangan wanita Oktober tahun lalu.
Ketika bersama skuad remaja, beliau berjaya mengemudi pasukan negara meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024. – KOSMO! ONLINE