TELUK INTAN – Empat tekong warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 41 migran di Bagan Datuk, 2 Februari lalu.
Tertuduh, Sulaiman Dodi, 25; Rudy Hartuno, 35; Ahmad, 38, dan Ahmadani, 28, mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Gan Peng Kun. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan penyeludupan terhadap 41 migran warga Indonesia di Pantai Sungai Tiang, Rungkup di dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 4.30 pagi, 2 Februari 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 29 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sementara itu, pada prosiding di mahkamah sama, empat pemandu teksi dan seorang pemandu e-hailing didakwa atas pertuduhan membawa 19 migran warga Indonesia yang diseludup menggunakan kereta jenis Proton Exora dan Proton Saga.
Tertuduh, M. Logannadan, 35; A. Nagenderan, 47; R. Kaleingarada, 61; C. Sasikumar, 45, dan T. Ramakrishnan, 51, melakukan perbuatan itu antara pukul 5 hingga 6.30 pagi di Ban Kunci Air Mati Sungai Lanchang, Selekoh dan Jalan Batu 20, Jalan Bagan Datuk pada tarikh yang sama. Kesemua mereka juga mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Peng Kun.
Pada prosiding itu, Nagenderan diwakili peguam bela R. Pavithira dan M. Karthika, Kaleingarada (Mohd. Radzlan Jalaludin), Sasikumar (Datuk P.M. Nagarajan) manakala Logannadan dan Ramakrishnan tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes terhadap Nagenderan, Kaleingarada, Logannadan dan Ramakrishnan manakala 6 Mac depan pula bagi permohonan ikat jamin untuk Sasikumar. – KOSMO! ONLINE