KUALA LUMPUR – Lebih 40 wanita menderita kulit wajah melepuh selepas menggunakan satu krim kecantikan yang mengandungi merkuri.
Lebih malang lagi, kira-kira 14 pengguna produk tersebut mengalami keguguran dipercayai akibat menggunakan krim kecantikan berkenaan.
Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Loke, 26, berkata, mengalami alahan kulit yang teruk, wajah bengkak, dan berjerawat selepas menggunakan produk terbabit merupakan pengalaman yang mengerikan.
Katanya, dia mula terjebak dengan produk tersebut selepas mengikuti Instagram seorang pempengaruh yang giat mempromosikan produk itu di media sosial.
“Produk itu dikatakan dapat membantu mencerahkan wajah, pudarkan pigmentasi dan dipromosikan sebagai satu produk yang mengandungi bahan natural.
“Saya terpengaruh dengan testimoni yang ditunjukkan di Instagram itu dan akhirnya membuat keputusan untuk membeli produk tersebut pada tahun 2021 dan 2023,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Katanya, produk tersebut dijual pada harga RM450, dan ketika itu dia telah membeli sebanyak lima set dengan jumlah RM2,250 dari pempengaruh itu.
“Keadaan kulit saya mula teruk selepas berhenti menggunakan produk itu. Bagaimanapun, bila saya mula menggunakan semula produk itu, keadaan kulit menjadi pulih.
“Saya terus menggunakan produk itu semasa hamil pada tahun 2023 dan kemudian melahirkan anak pada 13 Jun 2024.
“Tetapi, saya dapati kulit bayi saya mengalami ruam yang teruk,” katanya.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat di pada Februari lalu sebelum ujian merkuri dijalankan terhadap produk berkenaan.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima aduan daripada lebih 40 mangsa dari seluruh negara.
Katanya, beberapa laporan polis dan aduan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah dibuat.
“Sebarang tindakan yang diambil ke atas produk itu oleh pihak berwajib adalah luar bidang kuasa kami. Bagaimanapun, kesemua mangsa ini mahu menuntut keadilan terhadap pengeluar produk itu yang menyebabkan diri mereka melalui semua ini.
“Semua mangsa ini akan diwakili oleh pasukan kami untuk membuat tuntutan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE