KOTA TINGGI – Kerisauan seorang kakak yang menanti adiknya tidak pulang dari sekolah membawa penemuan adiknya maut selepas kenderaan dipandu terbabas ke dalam gaung pagi semalam.
Mangsa, Nor Adnin Sabtu, 19, diketahui terlibat kemalangan selepas kakaknya mengesan keberadaan adik bongsu itu melalui aplikasi penjejak yang dipasang di telefon bimbit mangsa.
Kakak mangsa, Norhasikin Sabtu, 34, berkata, adiknya itu baru sebulan lebih tinggal di rumah kakak sulung mereka di Felda Aping Timur dan memandu sendiri ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab setiap hari.
Katanya, mereka tidak menyangka ‘kehilangan’ adiknya itu selama beberapa jam membawa kepada penemuan keretanya dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Lok Heng- Mawai.
“Adik merupakan pelajar tingkatan enam dan sedang belajar di semester kedua. Biasanya dia keluar rumah kira-kira pukul 6 pagi dan pukul 3 petang sudah balik sekolah dan sampai di rumah kakak.
“Tetapi semalam kakak amat risau selepas dia tidak pulang-pulang ke rumah, bila tanya rakannya memaklumkan dia tidak hadir ke sekolah. Malah penjejak telefon bimbitnya juga menunjukkan dia berada di lokasi yang sama dan tidak bergerak-gerak.
“Saya sempat cari adik di hospital sekiranya dia terlibat kemalangan, namun tiada. Kira-kira pukul 5 lebih kakak memaklumkan dia ke lokasi yang ditunjukkan penjejak dan menemui kereta adik sudah terbabas serta ada adik yang sudah tidak bernyawa disitu,” katanya ketika ditemui media di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang remaja perempuan maut selepas kereta yang dipandu terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam lebih tujuh meter di Kilometer 32 Jalan Lok Heng- Mawai di sini. – KOSMO! ONLINE