JAKARTA – Dua mahasiswa dirotan secara terbuka di wilayah Aceh selepas didapati bersalah menjalinkan hubungan sejenis dengan masing-masing menerima 82 dan 77 sebatan, lapor laman berita CNN semalam.
Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 18 tahun itu menjalani hukuman rotan di Taman Bustanussalatin, Banda Aceh.
Berpuluh-puluh orang hadir menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut. Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Kota Banda Aceh.
Pesalah diberi waktu rehat untuk minum air, manakala pasukan perubatan melakukan pemeriksaan kesihatan selepas 20 kali sebatan.
Dua pelajar kolej tersebut ditangkap penduduk tempatan di bilik sewa mereka pada November tahun lalu sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.
Kerajaan pusat Indonesia membenarkan Aceh melaksanakan undang-undang Syariah pada 2006 sebagai sebahagian daripada perjanjian damai untuk menamatkan perang saudara yang berlarutan selama berdekad-dekad. – AGENSI