MENARIK minat pelbagai kaum selain Melayu untuk bermain bola sepak menjadi cita-cita besar bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan yang kini diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun, Zainal bertegas perkara utama ketika ini adalah memastikan pertandingan tempatan mempunyai asas kukuh sekali gus mampu beri keyakinan kepada semua golongan untuk turut serta dalam bola sepak.
“Pembangunan cukup penting dan kita mahu perkemaskan lagi supaya ia dapat berjalan lancar dan melahirkan lebih ramai pemain. Saya ambil contoh zaman saya, ramai pemain lahir daripada belia dan akademi, jadi bagi saya perkara itu sesuatu yang sihat.
“Bola sepak diminati ramai orang, jadi sekarang tugas kita mencari dan cungkil bakat, namun kita kena buat perjalanan bola sepak itu teratur. Apabila sudah teratur, mungkin lagi ramai orang nak bermain bola sepak sekali gus memudahkan kita cari bakat baharu.
“Mungkin padang terhad (hingga jejaskan minat kaum selain Melayu), jadi sebab itu saya cakap kita kena susun sehabis baik supaya dapat tarik minat orang untuk bermain bola sepak. Apabila adanya pertandingan yang baik, dari situ kita akan dapatkan pemain,” katanya.
Dalam masa sama, Zainal juga akui gembira kerana diberikan tanggungjawab yang ada hubung kait dengan rakan baiknya, Datuk Dollah Salleh yang menggalas tugasan selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan.
“Sudah pasti kami boleh bergabung untuk bantu bola sepak negara, tetapi untuk saya, bukan saya mahu bekerja dengan Dollah sahaja, dengan semua orang demi peningkatan bola sepak negara,” katanya.