BILA tiba Ramadan, pasti berkumandang lagu raya tidak kira karya baharu mahupun lama.
Tidak dilupakan lagu Ketipak Ketipung nyanyian asal Aisha Retno dan Aziz Harun yang menjadi siulan ramai sehingga tular di Indonesia tahun lalu.
Sambutan hebat itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam yang bakal melancarkan lagu raya baharu tidak lama lagi.
“Saya akan keluarkan lagu raya bersama Aziz Harun sempena Syawal ini.
“Ramai bertanya tentang lagu raya, agak tertekan juga nak buat naskhah baharu seperti Ketipak Ketipung,” katanya.
Selain duet bersama Aziz, pelantun lagu Sutera itu turut berkongsi khabar gembira impian menulis lagu buat idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza tercapai tahun ini.
Menurut Aisha, secara peribadi ini merupakan antara pencapaian terbaik dirinya dan sangat bersyukur dengan rezeki tidak terjangka itu.
“Lagu yang sepatutnya saya nyanyikan, saya berikan kepada penyanyi nombor satu negara.
“Ini memang pengalaman berharga, sebelum ini pernah tulis lagu untuk Dayang Nurfaizah dan kali ini kepada Siti Nurhaliza yang merupakan idola saya selama ini,” ujarnya.
“Pihak beliau ada nampak kenyataan saya dalam Instagram, memang jadi impian saya untuk hasilkan lagu buat dia.
Saya hantar demo dan diterima. Alhamdulillah, rezeki dari Allah,” katanya dalam nada gembira.
Lebih bermakna, tahun ini juga wanita berusia 25 tahun itu bakal menghasilkan sebuah album yang memuatkan sembilan lagu bagi menambah koleksi karyanya.
“Kini, saya dalam proses menyiapkan album. Selepas kontroversi yang berlaku sebelum ini, saya berazam untuk memperbanyakkan lagu.
“Semoga dipermudahkan, insya-Allah ada sembilan lagu yang majoritinya saya tulis sendiri,” katanya.
Sementara itu, Aisha juga merupakan antara penyanyi yang bakal menghiburkan pengunjung kempen Lip Lap Raya KWC Fashion Wholesale pada 23 Mac depan.
Selain Aisha, acara yang berlangsung dari 1 hingga 30 Mac itu turut diserikan dengan kemunculan Ani Mayuni serta Iskandar Projector yang beraksi pada hujung minggu.