KULAI – Sesi petang sekolah agama di negeri Johor akan ditamatkan 30 minit awal sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan urusan murid, guru-guru serta ibu bapa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sesi persekolahan agama di negeri ini akan tamat pada pukul 6 petang, berbanding 6.30 petang waktu sedia ada.
“Untuk sekolah agama dalam bulan Ramadan ini, kita gembira untuk umumkan bahawa sesi persekolahan petang akan ditamatkan pada pukul 6 petang.
“Ini bagi memudahkan urusan umat Islam dalam membuat pelbagai persiapan sepanjang bulan Ramadan, jadi kita pendekkan waktu sebanyak 30 minit,” katanya selepas mengumumkan keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam (SDEA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) di Sekolah Agama Bandar Putra, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE