KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta bagi membantu pekebun kecil melaksanakan Program Tanam Semula Sawit (TSPKS), susulan kadar penanaman semula yang masih jauh daripada sasaran tahunan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kadar penanaman semula sawit pada tahun lepas hanya mencapai dua peratus.
“Kita sepatutnya mencapai sekurang-kurangnya empat peratus (penanaman semula sawit setahun).
“Kalau kita mahu mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, kita tidak boleh biarkan pokok-pokok kita menua tanpa proses penanaman semula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Agarwood: Diamond of the Forest di sini, hari ini.
Menurut Johari, sektor swasta telah mencapai kadar penanaman semula sebanyak 2.3 peratus, namun pemilik ladang kecil masih ketinggalan dengan hanya sekitar satu peratus.
Oleh itu, ujarnya, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menyediakan insentif untuk mempercepatkan proses penanaman semula.
“Daripada RM100 juta yang diperuntukkan, 50 peratus adalah dalam bentuk geran, manakala selebihnya adalah pinjaman melalui Agrobank.
“Kementerian Perladangan dan Komoditi akan menyelaras dana ini bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh pekebun kecil,” jelasnya.
Johari turut menyatakan bahawa sasaran kerajaan adalah untuk menghabiskan dana ini selewat-lewatnya pada Jun ini, sekiranya permintaan tinggi pihaknya akan mengemukakan permohonan tambahan sebanyak RM100 juta kepada Kementerian Kewangan.
“Tahun lalu, peruntukan RM100 juta telah berjaya digunakan sepenuhnya dan kita berjaya menanam semula 5,980 hektar sawit,” katanya.
Mengulas cabaran utama dalam penanaman semula, Johari berkata faktor kewangan menjadi penghalang utama bagi pekebun kecil, terutama mereka yang telah berusia dan sukar mendapatkan pinjaman penuh daripada bank.
“Semua pekebun kita ni sudah berumur…dia pergi bank nak pinjam 100 peratus tak boleh. Jadi kita beri geran sedikit iaitu 50 peratus…50 peratus lagi pinjam pada bank,” katanya. – KOSMO! ONLINE