AMPANG – Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid di Hulu Selangor, mengaku salah atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh berusia 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Jurubahasa: Faham pertuduhan? Mengaku salah atau tidak?
Tertuduh: Mengaku.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bagi maksud seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah masjid di Batangkali, Hulu Selangor pukul 6.20 pagi pada 21 Februari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan dibawah kesalahan Seksyen 14(a) Akta kesalahan-Kkesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 14 akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga boleh dikenakan hukuman sebat.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memaklumkan berikutan tertuduh merupakan pesalah muda dan tertuduh mengaku salah, pihak pendakwaan memohon mahkamah memberikan satu tarikh sebutan bagi laporan sosialnya.
“Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berdekatan,” kata Nufadzlin.
Semasa prosiding, Hakim Norshila kemudian bertanya kepada tertuduh, adakah ada ahli keluarga yang hadir pada hari ini, tertuduh kemudian menjawab tiada.
Mendengar perkara itu, mahkamah kemudian menetapkan 27 Mac ini bagi sebutan semula kes
serta mendengar laporan sosial tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.
Mahkamah juga turut menetapkan syarat-syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid pada 21 Februari lalu.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita dan rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri dan ia tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud. – KOSMO! ONLINE.