SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Jabatan Akauntan Negara didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 12 pertuduhan rasuah berjumlah keseluruhan RM238,023 antara 2021 hingga tahun lalu.
Tertuduh, Abang Ismail Abang Puteh, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut kesemua pertuduhan, bapa kepada tiga orang itu didakwa menerima suapan keseluruhan RM238,023 tanpa balasan daripada seorang pengarah sebuah syarikat swasta berkaitan perkhidmatan teknologi.
Suapan itu kerana memberikan maklumat tender Perkhidmatan Penyelenggaran Fasiliti Pusat Data dan membuat pengesahan kerja pada Borang Penyelesaian Kerja (Job Completion Form) bagi perkhidmatan sama di jabatan itu.
Ia dilakukan ketika tertuduh menjawat Penolong Pengarah Kanan dan Pegawai Teknologi Maklumat Pengurusan Teknologi Maklumat jabatan itu di tiga buah restoran berbeza sekitar sekitar Bandar Puteri, Puchong antara 11 Januari 2021 hingga 15 Mei 2024.
Justeru, dia didakwa atas empat pertuduhan dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, sekiranya disabitkan kesalahan.
Lapan lagi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Elyza Amira Habeeb Rahman mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan.
Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zahida Khan dalam mitigasinya memohon jaminan serendah RM12, 000 ekoran akaun anak guamnya telah dibekukan selain harta-harta lain turut disita SPRM.
Tambahnya, anak guamnya masih bekerja di jabatan itu manakala isterinya bekerja sebagai kakitangan pentadbiran di sebuah universiti swasta.
“Sehingga hari ini, penjamin iaitu isteri hanya mampu mengumpulkan wang jaminan sebanyak RM12,000 dengan tertuduh mempunyai anak berusia enam hingga 19 tahun yang masih belajar,” katanya..
Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warganegara serta membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 April depan. – KOSMO! ONLINE