fbpx

Pelajar meninggal dunia selepas rebah ketika merentas desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar lelaki rebah dan tidak sedarkan diri dikatakan selepas melepasi garisan penamat ketika menyertai larian merentas desa peringkat sekolah di padang sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dikatakan berjaya menamatkan acara sejauh enam kilometer sebelum rebah tidak sedarkan diri sebaik melepasi garisan penamat di sekolah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelajar itu menyertai acara merentas desa peringkat sekolah bersama pelajar lain.

“Sebaik tiba di garisan penamat, pelajar terbabit yang dikenali aktif bersukan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Guru bertugas bersama ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) membawa pelajar itu ke khemah dan memberikan bantuan pertolongan cemas, namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Azharuddin, guru terbabit segera menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan pelajar itu meninggal dunia ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil temu bual polis dengan bapa mangsa mendapati kanak-kanak itu sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, malah aktif bersukan.

“Semakan pihak polis turut mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis untuk anaknya menyertai acara sukan tersebut,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan awal pihak polis ke atas mayat pelajar berkenaan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI