KUALA LUMPUR – Kerajaan meminta seniman jalanan atau `busker’ di ibu negara tidak hanya menyanyikan lagu-lagu jiwang dan tangkap leleh dalam persembahan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, golongan itu diharap turut mendendangkan lagu-lagu klasik dengan sentuhan moden.
Menurut beliau, ia merupakan tanggungjawab sosial `busker’ bagi membantu pelancong mengenali muzik tradisional Malaysia seperti gamelan dan ghazal.
“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan berharap seniman jalan terutama `busker’ tidak hanya mainkan lagu satu jenis saja.
“Mungkin boleh main juga lagu lain. Ini antara perkataan biasa digunakan.. dangdut, jiwang, tangkap leleh. Ini bahasa orang muda, tetapi juga main lagu klasik.
“`Busker’ juga diharap memperbaiki penampilan, tidak pakai pakaian yang tidak sopan atau tidak bersih ketika membuat persembahan dan berinteraksi dengan penonton sscara profesional dan sopan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan P. Prabakaran sama ada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai inisiatif untuk mengangkat martabat penghibur jalanan di Kuala Lumpur seperti di kota-kota utama dunia seperti London dan Paris.
Terdahulu, Zaliha berkata, DBKL memberikan permit rasmi kepada seniman jalanan sejak 30 Mac 2014 bagi memastikan aktiviti `busking’ di Kuala Lumpur dapat dikawal selia secara profesional.
Kata beliau, seramai 579 seniman jalanan telah diberikan permit melibatkan 374 dalam kategori Seni Persembahan Muzik dan 205 dalam kategori Seni Visual Kreatif seperti badut, maskot, silap mata dan pelukis inai.
Tambah beliau, DBKL turut menubuhkan `Task Force KL Street Artist’ yang bertanggungjawab melakukan pemantauan berkala untuk memastikan pemegang permit mematuhi syarat ditetapkan.
“Ia termasuk lokasi, waktu persembahan dan had bunyi serta mengeluarkan amaran dan tindakan penguatkuasaan kepada yang melanggar peraturan seperti menyebabkan gangguan lalu lintas atau mengganggu premis perniagaan sekitar.
“DBKL bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu-isu seperti kesesakan trafik akibat aktiviti `busking’ di kawasan sibuk seperti Bukit Bintang,” katanya.
Beliau berkata, DBKL turut mewajibkan Bengkel Pemantapan KL Street Artist bagi setiap pembaharuan permit sebagai syarat utama untuk memastikan seniman jalanan terus mematuhi garis panduan dan meningkatkan kualiti persembahan. – KOSMO! ONLINE