KUALA LUMPUR – Keputusan pelakon Syafiq Kyle mengadakan majlis perkahwinan secara tertutup pada 14 Februari lalu di Taiping, Perak adalah bagi menghormati keputusan kedua-dua belah keluarga.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak 33, majlis tersebut hanya dihadiri kenalan rapat selain berasakan berkongsi berita baik pada hari pernikahan itu sendiri adalah suatu yang perlu dilakukan selepas sah bergelar suami.
“Sebab saya rasa setiap jalan kerja yang dilakukan untuk sampai ke hari pernikahan itu, saya hanya buat yang perlu sahaja. Secara tertutup itu adalah atas kehendak dan persetujuan daripada keluarga.
“Jadi saya respek pihak Mimi dan dia juga hormat pihak saya, perkara itu sudah dibincangkan dengan pengurus kita.
“Kami ambil pendekatan untuk kongsi pada hari pernikahan, itu lebih baik,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan perdana episod akhir Gadis Masa di Hotel Aloft, di sini semalam.
Berkongsi mengenai kehidupannya sebagai suami, Syafiq mengakui seronok terutama selepas memiliki isteri yang boleh menyediakan keperluannya di rumah.
“Alhamdulillah doa baik-baik anda semua yang sentiasa ada dengan saya ini membawa saya dan Mimi ke jenjang pelamin.
“Tapi saya akui sekarang kami berdua sibuk, nak bercuti pun tak sempat lagi. Insya-Allah lepas raya kami bercuti.
“Kalau nak cakap perubahan terbesar selepas bergelar suami, macam tiada apa sangat sebab tak sampai sebulan lagi cuma seronok setiap hari ada orang hidang nasi di rumah,” katanya lagi.
Ditanya tentang kenyataan Mimi sebelum ini iaitu berkahwin kerana mahu menjalani ibadah puasa bersama, Syafiq berkata, perkara tersebut mungkin berkat doanya ketika menunaikan umrah tahun lalu.
“Tahun lepas saya berpuasa seorang dan sambut Hari Raya Aidilfitri di Mekah dengan mengerjakan umrah.
“Mungkin itu adalah doa saya iaitu mahu puasa seterusnya lebih manis dan Allah SWT bagi. Alhamdulillah itu pun doa emak saya juga,” ujarnya.
Sebelum ini, Mimi dan Syafiq menjalin hubungan cinta sejak tahun 2016, namun impian bergelar suami isteri terkandas apabila mereka membatalkan majlis pernikahan pada 18 Ogos 2023.
Kemudian pada 14 Februari lalu, pasangan tersebut mengejutkan ramai apabila selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga teman rapat sahaja. – KOSMO! ONLINE