PUTRAJAYA – Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 tetap mencabar walaupun tidak melibatkan pendakian ikonik seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands.
Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal menegaskan laluan perlumbaan tahun ini masih bertaraf ProSeries dan pelumba disajikan pertempuran mencabar di Bukit Fraser di Peringkat 5 dan Banjaran Titiwangsa (Peringkat 3).
Tegas Emir, selain itu pelumba akan menempuh pertempuran sengit di sepanjang 1,257.8 kilometer (km) dengan merentasi 12 negeri sekali gus menjadi tarikan utama penganjuran edisi 2025 ini.
“Kami memang mahu mengekalkan Genting Highlands sebagai sebahagian daripada laluan, tetapi disebabkan isu kelulusan dan faktor lain, kami terpaksa mencari alternatif lain.
“Jadi, Bukit Fraser dipilih kerana ia masih menawarkan cabaran besar kepada pelumba. Sebelum ini, Bukit Fraser pernah digunakan sebagai Queen Stage pada tahun 2008 dan 2015.
“Walaupun ketinggiannya tidak mencukupi untuk kategori Hors Classe, laluan ini tetap mencabar dan sesuai dikategorikan sebagai pendakian utama.
“Tahun ini, pelumba perlu memiliki kemahiran menurun yang tinggi kerana pendakian ke Bukit Fraser dilakukan dari Bentong, dengan jarak 27 km hingga ke puncak pada ketinggian 1,221 meter.
“Dengan perubahan laluan ini, saingan akan lebih terbuka dan tidak hanya memihak kepada pendaki tulen.
“Pasukan perlu menyusun strategi dengan rapi kerana laluan menurun yang tajam boleh mencipta jurang masa yang besar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan LTdL 2025, di Menara KBS, hari ini.
Emir memaklumkan mereka turut menyasarkan LTdL akan disertai tiga pasukan WorldTeam, tujuh pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental, serta satu penampilan pasukan kebangsaan.
“Walaupun tanpa pendakian Genting Highlands, status perlumbaan ini tetap kekal dalam ProSeries.
“Banyak perlumbaan bertaraf tinggi seperti Tour Down Under (Australia) dan UAE Tour juga tidak mempunyai pendakian ekstrem tetapi tetap kompetitif bergantung kepada bagaimana laluan direka,” jelasnya.
Perlumbaan yang bermula dari 28 September hingga 5 Oktober 2025 itu akan membuka tirai di Pulau Langkawi dan menjadi lokasi permulaan Peringkat 1, manakala peringkat terakhir akan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Edisi kali ini turut memperkenalkan Padang Besar (Perlis), Medini dan Tangkak (Johor) sebagai venue baharu penganjuran LTdL.
Bagaimanapun, jarak 214.6 kilometer dari Melaka ke Medini pada Peringkat 7 juga dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan juara keseluruhan LTdL 2025. -KOSMO! ONLINE