KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pekerja kebun buah mengugut akan mengancam nyawa Datuk Seri Tiong King Sing melalui panggilan telefon memakan diri apabila dia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Aina Azahra Ariffin menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Chai Seng, 36, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Chai Seng didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya melalui telefon dengan cara mengugut akan mengancam nyawa mangsa di Pejabat Ahli Parlimen, Jalan Parlimen, Sentul di sini pukul 1.37 tengah hari, 18 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh memohon hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh melakukan ugutan terhadap mangsa.
Bagaimanapun, peguam Caren Kaur memohon hukuman berbentuk denda dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pekebun di kebun buah bapanya dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.
“Anak guam saya telah insaf dan memohon maaf atas perbuatannya itu,” kata peguam itu. – KOSMO! ONLINE