BATU PAHAT – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi membenteras aktiviti penjualan terutama makanan ringan di hadapan sekolah seluruh negara bagi mengelakkan penjualan makanan yang boleh membahayakan pelajar.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, langkah ini perlu kerana KPM hanya bertanggungjawab keatas jualan di kantin sekolah disamping tidak membenarkan sebarang aktiviti jualan dilakukan sekitar 40 meter daripada kawasan sekolah.
Katanya, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengeluarkan garis panduan sewajarnya untuk mengatasi masalah penjualan makanan tidak sihat di kawasan sekolah.
“Dari sudut peraturan dan undang-undang, KPM hanya boleh menguatkuasakan larangan penjualan 40 meter daripada pintu utama dan keseluruhan pagar sekolah.
“Jika ada aktiviti jualan yang berada di luar kawasan daripada jarak itu, ia adalah dibawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan,”katanya selepas Peluncuran Sekolah Digital di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok di Parit Yaani di sini.-KOSMO! ONLINE