PETALING JAYA – Tiga pencipta kandungan yang sinonim dengan masakan iaitu Khairul Aming, Che Sayang Kitchen, Hamdan Mubarak merupakan individu dikatakan ‘penggugat’ umat Islam di Malaysia menjelang puasa Ramadan nanti.
Difahamkan, tiga pempengaruh tersebut sering memuat naik kandungan video resepi terutama minuman berais di siang hari sekali gus cabaran berpuasa khususnya cuaca panas terik.
Khairul Aming popular dengan ‘What’s Up Guys’, Che Sayang pula dengan ‘Dua Minit Satu Resepi Che Sayang’, manakala Hamdan Mubarak sering memulakan video dengan ‘Bismillah’ sambil mengacau air berais.
Menerusi media sosial TikTok, ada pengguna berjenaka mahu ‘unfollow’ atau sekat sementara akaun Khairul Aming, Che Sayang dan Hamdan Mubarak sepanjang Ramadan bagi mengelakkan video resepi masakan dan air minuman tertera pada media sosial mereka.
“Aku minta maaf awal-awal kepada tiga orang ni. Terpaksa ‘block’ untuk bulan puasa sahaja. Lepas puasa aku ‘unblock’ balik,” kata pengguna TikTok.
“Hamdan Mubarak dengan air sejuk cawan besar. Dia buat air kosong pun dah dahaga tengok,” ujar individu lain.
“Tiga hamba Allah ni buat umat Islam tergugat kesabaran menahan lapar dan dahaga,” kata individu lain. – KOSMO! ONLINE