PETALING JAYA – Susulan konten mengaibkan nama pelakon Ellie Suriaty dan kecaman bertubi-tubi yang diterima, pempengaruh sensasi Imran Bard akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka.
Mengambil masa beberapa hari setelah diminta berbuat demikian, Imran atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin menjelaskan tujuan menggunakan nama Ellie terjadi secara spontan didorong oleh minat terhadap aktres terbabit.
“Saya, Imran Bard, ingin memohon maaf atas kekhilafan dalam video Tik Tok yang telah menyinggung perasaan puan.
“Saya mohon maaf kerana ambil masa sedikit lama untuk bertenang dan muhasabah,” katanya dalam hantaran InstaStory.
“Sebagai peminat yang mengidolakan puan dan para pelakon lain serta semua nama disebut terkeluar secara spontan.
“Saya dibesarkan dengan menonton lakonan-lakonan Puan Ellie. Walaupun saya dalam golongan Gen Z (generasi Z), saya sangat meminati genre-genre filem di zaman Puan Ellie.
Tambah Imran, dia tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, bukan atas niat mengejek sebaliknya sebuah parodi secara rawak.
“Tujuan video tersebut 100 peratus tiada berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, seperti video-video saya sebelum ini, semua itu hanyalah parodi secara rawak.
Dalam masa sama, Imran turut menganggap kekecohan yang berlaku sebelum ini sebagai pengajaran dalam hidupnya.
“Walau bagaimanapun, saya mengakui kesalahan bahawa nama-nama tidak boleh dipetik apatah lagi diperolok-olokkan walaupun sekadar jenaka.
“Saya juga bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah berlaku dan hargai teguran puan.
“Semua ini saya anggap sebagai pengajaran terbesar seumur hidup,” jelasnya.
Selain itu, Imran juga berniat untuk bersemuka dengan Ellie bagi menunjukkan keikhlasannya dalam memohon maaf.
“Sekiranya puan sudi, saya berharap dapat berjumpa dengan puan secara peribadi untuk menyampaikan permohonan maaf Imran secara bersemuka dan tertutup.
“Saya percaya ini adalah langkah terbaik untuk menunjukkan keikhlasan dalam memperbetulkan keadaan,” tuturnya.
Dalam hantaran sama, Imran turut memberitahu bahawa dia sudah membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Ellie dan masih menunggu respons daripada pihak aktres itu.
Sebelum ini, Ellie menuntut permohonan maaf daripada Imran termasuk ibu bapa pempengaruh itu kerana mendakwa sudah mencalarkan namanya menerusi video TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Ellie atau nama sebenar, Ellie Suriaty Omar didakwa kecewa dengan tindakan Imran apabila didakwa memuat naik konten menggunakan namanya sehingga merosakkan reputasi yang dibina lebih tiga dekad sebagai anak seni. – KOSMO! ONLINE