KUALA LUMPUR – “Rasa sayu dan rasa berbeza.”
Demikian kata pelakon popular Fattah Amin yang buat pertama kalinya bakal menyambut Ramadan tanpa seorang isteri di sisi selepas bercerai empat bulan lalu.
Bahkan, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, turut mengakui ‘rasa’ kehilangan dan berbeza kerana tiada lagi wanita bergelar isteri akan mengejutnya untuk bersahur dan menyediakan juadah berbuka puasa.
“Betul, memang akan berbezalah. Sebagai manusia biasa, walaupun kita lelaki, tetapi ada masanya kita akan tetap terbuai dengan perasaan itu.
“Tetapi saya perlu kuat dan apa yang terjadi sebelum ini sudah ditakdirkan. Sebagai orang Islam, harus percaya pada qada dan qadar, sampai masa sudah tertulis jodoh, rezeki dan ajal. Harus bermuhasabah diri dan terima dengan hati yang terbuka,” ujar Fattah.
Bagi mengalihkan perhatiannya, bintang filem Mat Kilau itu menyibukkan dirinya dengan kerja dan dalam masa yang sama bersyukur kerana masih mempunyai keluarga untuk menyambut Ramadan bersama.
“Rutin memang akan berbeza, tidak sama seperti dahulu. Alhamdulillah, saya masih ada ibu bapa, anak Fatima dan adik-beradik.
“Merekalah yang menjadi tulang belakang saya dan kita akan sama-sama menjalani ibadah puasa sebagai sebuah keluarga yang harmoni,” kata Fattah.
Meski telah berpisah, sebagai bapa Fattah akan memastikan dia dapat menyambut dan mendidik anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya, 4, tentang bulan Ramadan.
“Sebagai bapa saya akan berusaha untuk bersama-sama menyambut Ramadan bersama Fatima kalau diberi peluang dalam jadual ditetapkan (hak pengiliran jagaan anak).
“Walaupun Fatima masih kecil dan tidak berpuasa, memang saya mahu ada masa untuk berbuka dengan keluarga saya serta meraikan anak.
“Dia masih kecil, tetapi berhak tahu tentang Ramadan, sebagai ibu bapa kita harus fahamkan erti Ramadan kepadanya secara perlahan-lahan,” jelasnya yang ditemui pada majlis sidang media drama Bidaah semalam
Fattah dan aktres, Nur Fazura Sharifuddin, berkahwin pada 27 November 2017, namun bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu. – KOSMO!ONLINE