PETALING JAYA – Beberapa hari menjelang Ramadan, pelakon Eyka Farhana berkesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Mekah bagi menunaikan umrah bersama keluarga tersayang.
Lebih bermakna, tunang kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid itu turut ditemani bakal mentua yang turut serta dalam perjalanan rohani tersebut.
“Alhamdulillah Ya Allah atas jemputan kali ini. Terlalu bermakna dapat umrah bersama keluarga sendiri dan keluarga baru, mak serta abah.
“Allah mudahkan segala urusan dari Malaysia hingga ke sini, semuanya dipermudahkan. Lain rasanya bila buat umrah dengan orang-orang yang saya sayang,” kongsinya menerusi Instagram Story.
Eyka atau nama sebenar Wan Atiqa Wan Sarmizi, 29, juga meluahkan rasa syukur apabila doanya untuk berada di Tanah Suci akhirnya dimakbulkan.
“Terima kasih @bismie amer kerana memudahkan segala urusan kami di sini.
“Terima kasih Ya Allah mendengar doa kami untuk ke sini bersama-sama,” katanya lagi.
Pada November tahun lalu, Eyka mendedahkan dirinya sudah bergelar tunang kepada Akhyar sejak 4 Ogos 2023. – KOSMO! ONLINE