KOTA BHARU – Dua lelaki bertindak meninggalkan dadah jenis syabu seberat 200 kilogram (kg) bernilai RM6.4 juta selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka dikejar polis di Kampung Bechah Resak, Tumpat dekat sini Ahad lalu.
SUV jenis Mitsubishi Pajero yang dinaiki kedua-dua suspek diekori anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sejauh kira-kira 15 kilometer (km).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, anggota PGA mendapati SUV itu dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan sebelum mengekori kenderaan tersebut.
“Anggota PGA menahan SUV itu semasa tiba di Jalan Kasban menghala ke sekat pintas Nibong, Tumpat.
“Pemandu kenderaan itu cuba lolos apabila merempuh penghalang jalan di sekat pintas Nibong sebelum anggota PGA mengejar SUV tersebut hingga ke Kampung Bunohan.
“Suspek bertindak menghimpit kenderaan pasukan sebelum tayar SUV pancit dan berhenti di Kampung Bechah Resak. Kedua-dua suspek melarikan diri ke kawasan kampung,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan awal mendapati salah seorang lelaki itu dikenal pasti sebagai Mohd. Faizal Hanafi, 39. Mereka dipercayai masih berada di negeri ini dan usaha mengesan sudah digerakkan.-KOSMO! ONLINE