PASIR MAS – Dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mengedar sebanyak 119 bungkus air ketum bernilai RM6,770 dicekup selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah rumah di Kampung Bunut Susu di sini semalam.
Serbuan dijalankan oleh anggota Batalion 7 dan Batalion 3 PGA kira-kira pukul 6 petang semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan awal mendapati, rumah tersebut disyaki menjadi lokasi kepada pengedaran air ketum.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai lebih 119 bungkus air ketum yang sudah diproses.
“Dua lelaki berusia 26 dan 37 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran air ketum itu ditahan untuk membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati, anggaran keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,770,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan kesemua air ketum itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE