BARCELONA – Kegagalan mengekang asakan lawan menyaksikan Barcelona bolos dua gol di hujung permainan menyebabkan mereka terpaksa akur dengan keputusan seri 4-4 menentang Atletico Madrid pada aksi separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam.
Keputusan itu ketika perlawanan berlangsung di Camp Nou nyata mengundang kekecewaan besar buat pengendali The Catalans, Hansi Flick selepas Barcelona berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol pada 10 minit pertama perlawanan.
Mereka ketinggalan menerusi jaringan Julian Alvarez dan Antoine Griezmann dalam tempoh enam minit sebelum bangkit meledak empat gol menerusi Pedri, Pau Curbasi, Inago Martinez dan Robert Lewandowski.
Bagaimanapun, mereka seakan hilang fokus pada 10 minit terakhir sehingga membenarkan Atletico mengikat kedudukan menerusi Marcos Llorente dan Alexander Sorloth sehingga mengundang berang Flick.
“Selepas apa yang berlaku, apa yang boleh saya katakan adalah saya begitu kecewa dengan keputusan ini. Kami bermain dengan baik, mencipta banyak peluang, namun melepaskan dua gol awal.
“Kami juga mensia-siakan banyak peluang dan saya pun sudah beri peringatan kepada pemain yang kami tidak boleh beri ruang terlalu banyak kepada Atletico. Pastinya agak sukar untuk saya terangkan tentang perlawanan ini,” katanya.
Dalam maa saya Flick menjelaskan fokus utamanya sekarang adalah untuk mengekalkan keyakinan pemain dan tidak boleh mengulangi apa yang berlaku pada perlawanan ini.
Bagaimanapun bekas pengendali Jerman itu mengakui agak sukar untuk mengekang pasukan seperti Atletico yang sentiasa mampu mengambil kesempatan. – AGENSI