KLUANG – Seorang lelaki warga emas bukan sahaja kehilangan wang bernilai RM562,000 namun turut tidak mendapat sebarang pulangan selepas melabur dalam skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan dalam laman media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian bermula selepas lelaki berusia 80 tahun itu terbaca iklan pelaburan saham diatas nama Koon Yee Yin Value Investment dalam laman sesawang Facebook sekitar bulan September tahun lalu.
Katanya, lelaki itu kemudiannya berhubung dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dan dijanjikan akan mendapatkan pulangan lumayan serta kenaikkan harga saham sebelum diarahkan mendaftarkan dalam pautan diberikan iaitu automentcap.com/mobile/en-us/m.html#
“Bermula bulan September 2024 hingga awal Februari tahun ini, mangsa telah membuat tiga transaksi ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM562,000.
“Bagaimanapun sehingga hari ini mangsa tidak mendapat sebarang pulangan apabila individu yang berurusan dengannya gagal dihubungi malah pautan diberikan juga tidak dapat diakses,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, laporan polis yang dilakukan oleh mangsa hari ini itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat atau dengan denda.-KOSMO! ONLINE