KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun ini sebanyak RM8 berbanding RM7 pada tahun sebelum-sebelum ini.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, individu boleh membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.
Menurutnya, jumlah ketetapan zakat fitrah itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
“Kadar nisab zakat harta bagi Kelantan tahun ini sebanyak RM29,376 untuk haul antara Ramadan tahun 1446 hijrah hingga Ramadan tahun 1447 hijrah.
“Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter Baitulmal yang dibuka dalam masjid-masjid bandar, masjid-masjid jajahan atau menerusi portal Maik di zakat.e-maik.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, Maik mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan bayaran zakat itu.
“Semoga dengan pembayaran zakat ini, kita dapat membantu golongan yang memerlukan dan meningkatkan keberkatan dalam kehidupan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE