KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM200,000 kepada 200 graduan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Kesemua mereka menerima RM1,000 sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 ke atas.
Penghargaan itu diberikan kepada graduan yang menamatkan pengajian dari Januari 2022 hingga Ogos tahun lalu.
Majlis tahunan kali ke-7 itu terus menunjukkan peningkatan jumlah penerima, sekali gus membuktikan komitmen YBR dalam menyokong kecemerlangan pendidikan negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif ini mampu membuka mata masyarakat tentang peranan YBR dalam membantu pendidikan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kejayaan.
“Inisiatif ini sedikit sebanyak mendorong anak-anak muda untuk mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi dalam membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan, semalam.
Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, ganjaran wang tunai yang diberikan merupakan penghargaan kepada graduan yang telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian mereka.
“Semoga anugerah ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain dan membuktikan sokongan YBR dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk negara,” ujarnya.
Menurutnya, daripada jumlah penerima anugerah, seramai 150 orang adalah graduan Ijazah Sarjana Muda, manakala 50 lagi adalah graduan Ijazah Sarjana.
Dalam majlis yang sama, YBR turut menyerahkan komputer riba kepada 25 pelajar terbaik matrikulasi tajaan YBR untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. – KOSMO! ONLINE