SERDANG – Kira-kira 45 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import hasil rampasan pihak penguasa di kilang, didapati berlaku percampuran dengan beras putih tempatan.
Hasil tersebut dianalisis oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi & Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi rampasan oleh Task Force Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pegawai Penyelidik Kanan Sains Biologi MARDI, Mohd. Shahril Firdaus Ab. Razak berkata, 5,000 sampel tersebut diambil secara rawak daripada 55 kampit beras dengan setiap satu kampit, sebanyak 95 sampel telah digunakan.
“Setakat ini kita mempunyai lebih 50 varieti tempatan yang telah diisytiharkan dan dalam isu ini, sebanyak 10 varieti tempatan dijadikan penjujukan.
“Kebanyakan varieti ditanam di lapangan oleh petani adalah MR297 dan kita dapati daripada analisis ini, banyak percampuran beras tempatan varieti MR297,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat mengenai kaedah analisis bagi mengenal pasti beras putih tempatan dan beras putih import di MARDI di sini hari ini.
Beliau berkata, analisis terhadap 5,000 sampel tersebut menggunakan teknologi pencapjarian DNA yang dibuat bermula penghujung 2023 hingga Mac 2024.
“Ia selepas penubuhan Task Force Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mengenal pasti isu kehilangan beras tempatan.
“Kita hantar laporan daripada analisis ini kepada pihak Pejabat Kawalselia Padi dan Beras serta KPDN,” katanya.
Mohd. Shahril Firdaus berkata, petani di negara ini menanam beras tempatan dan kemudian ia dihantar kepada kilang, jadi pencampuran berlaku di tempat tersebut.
Katanya, dalam masa sama, tiada akta atau peraturan yang khusus berhubung perkara berkaitan pencampuran beras putih tempatan dan beras import.
“Menteri minta buat peraturan baharu nak selesaikan masalah ini. Sekarang ini kita duduk bersama bagi membincangkan peraturan baharu berkaitan beras putih tempatan dan beras import,” katanya.
Menerusi teknologi pencapjarian DNA, ia melalui kaedah pensampelan iaitu beras diambil secara rawak, kemudian pengekstrakan DNA yang mana DNA sampel ekstrak dan kawalan kualiti DNA telah dijalankan menggunakan gel agarosa dan fluoraskan ascent.
Ia disusuli pengenotipan panel penanda SSR/SNP, manakala analisis penskoran dijalankan menggunakan perisian GneMapper5/Typer4. – KOSMO! ONLINE