DEWAN pertandingan bergegar dengan sorakan apabila tiga pelajar Orang Asli suku kaum Jakun diumumkan sebagai juara dalam kategori Robotik Inovasi di International Robot Olympiad (IRO) ke-26 di Busan, Korea Selatan pada hujung Januari lalu.
Manakan tidak, pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan, Pahang itu berjaya menewaskan pasukan negara-negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan China.
Kejayaan Fizrey Rovince Ronachai, HafiezieAzwanizizi serta Matthew Jambai Karong itu secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai pelajar orang Asli pertama dunia yang meraih gelaran
tersebut.
Mengimbau saat diumumkan sebagai pemenang, Fizrey selaku ketua kumpulan mengakui tidak menyangka dapat membawa pulang emas dan mengibarkan bendera Malaysia di pentas dunia.
“Semasa nama diumumkan sebagai juara, kami sangat terkejut kerana saingan kami kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar dari negara maju yang lebih sinonim dengan dunia robotik.
“Tetapi hasil kerjasama Hafiezie sebagai pembina robot, Matthew sebagai pengaturcaraan data serta saya sebagai pembentang berjaya mencipta sejarah dalam pertandingan tersebut,” katanya kepada K-Remaja.
Sedikit penjelasan, Fizrey dan Hafiezie tampil di pertandingan sebagai pelajar tahun enam, sementara Matthew pula merupakan pelajar tahun lima kerana sesi persekolahan baharu belum bermula.
Setelah sesi akademik bermula pada 17 Februari lalu, Fizrey, 13, dan Hafiezie, 13, telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, sementara Matthew kini merupakan pelajar darjah enam.
Untuk pengetahuan, IRO merupakan pertandingan robotik peringkat antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun untuk menguji kemahiran pelajar dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Penganjuran kali ke-26 yang menghimpunkan 43 pasukan dari 23 negara tersebut menawarkan kategori seperti robotik inovasi, robotik misi, robot tempur, robotik simulasi dan robot humanoid.
Lebih menarik, segala rekaan dan pembentangan yang dihasilkan merupakan idea para peserta sepenuhnya tanpa sebarang bimbingan guru-guru mereka.
Dalam kategori robotik inovasi, peserta diberikan tugasan untuk membuat esei dalam bahasa Inggeris, melakar idea, membina robot yang memiliki fungsi serta melakukan pembentangan.
Pada penganjuran kali ini, peserta perlu menyelesaikan masalah pembersihan sungai dengan robot binaan mereka itu.
Menurut Hafiezie atau lebih mesra dengan panggilan Apong, ketetapan masa yang singkat merupakan cabaran paling besar buat dirinya sebagai pembina robot.
“Pada mulanya, saya agak cemas kerana saya perlu segera bina dua robot yang menepati kehendak soalan dalam masa dua jam pertandingan berlangsung.
“Tetapi dalam masa sama, saya yakin dengan kemampuan saya kerana cikgu selalu memberikan saya kata-kata semangat supaya saya tidak mudah berputus asa,” katanya.
Sementara itu, Matthew yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara membuktikan bahawa kekurangan pengalaman dan usia bukan penghalangnya untuk memberi sumbangan kepada pasukan.
Dengan dedikasi dan latihan berterusan selama lapan bulan sebelum pertandingan, peranannya dalam pengaturcaraan data menjadi salah satu kunci kejayaan pasukan itu.
Katanya, latihan pada setiap Isnin sehingga Khamis selepas tamat waktu persekolahan banyak membantunya melakukan tugas diberi dengan baik.
“Bimbingan daripada abang-abang senior sewaktu pertandingan membantu saya fokus kepada tugas saya tanpa terbawa-bawa dengan tekanan dari sekeliling.

“Sesi latihan selepas sekolah selama lapan bulan juga banyak membantu kami belajar membahagikan tugas dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah,” ujarnya.
Sebagai rekod, SK Permatang Keledang merupakan salah satu sekolah daripada empat sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) di Pekan, Pahang.
Seramai 14 orang guru dan 119 murid bersekolah di situ yang mana hampir 90 peratus merupakan murid Orang Asli daripada suku kaum Jakun.
Sekolah tersebut merupakan satu-satunya sekolah di Bandar Diraja Pahang yang memiliki Robotic Centre Hub yang boleh memuatkan lima litar pelbagai jenis.
Antaranya adalah litar navigasi (autonomous robot), litar penyelesaian misi (mission challenge), litar pertempuran robot, litar coding dan simulasi serta litar kreativiti dan inovasi.
Kemudahan tersebut menjadikan sekolah di pinggir daerah terbesar Pahang tersebut sebagai tumpuan sekolah-sekolah lain untuk menerokai dunia robotik.
Dalam pada itu, guru penyelaras robotik sekolah berkenaan, Mohd. Zulkhairi Umar berkata, proses untuk menarik minat anak Orang Asli terhadap robotik bermula dengan mengambil hati ibu bapa mereka.
“Ibu bapa anak Orang Asli sering merasa risau sekiranya anak mereka dibawa keluar ketika menyertai pertandingan-pertandingan di luar kawasan mereka sama ada dalam atau luar negara.
“Apabila mereka mula memenangi pertandingan sama di peringkat daerah dan kebangsaan, komuniti Orang Asli termasuk Tok Batin mula nampak hasil positif kepada komuniti mereka.
“Dari situ, mereka mula yakin kepada guru-guru dan menyokong usaha sekolah untuk melatih anak mereka dalam bidang robotik,” katanya yang turut dibantu cikgu Wan Rahmat Wan Ismail.
Bagi murid-murid pula, guru yang turut mengajar pelajaran Bahasa Melayu tersebut mengakui anak-anak Orang Asli agak pemalu dan introvert berbanding murid-murid lain.
Oleh itu, anak jati pahang itu mengambil langkah mendedahkan mereka untuk bergaul dengan murid-murid sekolah lain menerusi pertandingan-pertandingan robotik tempatan.
Ujarnya, sesetengah murid dilantik menjadi pengawas sekolah dan ditugaskan untuk membaca ikrar sebagai langkah untuk meningkatkan keyakinan mereka ketika berada di khalayak ramai.
“Saya mula dedahkan anak-anak murid saya dengan pertandingan-pertandingan robotik di luar sekolah sejak mereka berada di darjah empat lagi.
“Cara ini bagi melatih mereka lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan orang yang ramai.
“Ini merupakan aspek penting ketika bertanding di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kongsi Mohd. Zulkhairi lagi, detik paling manis sepanjang lapan tahun mengajar Orang Asli dunia robotik adalah apabila berjaya memecah stereotaip orang ramai tentang komuniti tersebut.
Lebih mengharukan, pendedahan anak Orang Asli kepada dunia luar ketika bertanding di luar negara memberikan impak pemerkasaan kepada seluruh komuniti Orang Asli di Malaysia.
“Ibu Apong pernah beritahu anak sulungnya itu merupakan ahli keluarga pertama dalam keturunan mereka yang pernah menaiki kapal terbang ke luar negara.
“Justeru, kemenangan pingat emas peringkat dunia ini sememangnya memberikan impak pemerkasaan yang sangat mendalam terhadap komuniti Orang Asli secara amnya,” katanya.