SEPANG – Anak perantau dari Sabah dan Sarawak boleh menarik nafas lega untuk pulang pada Aidilfitri apabila AirAsia menawarkan tambang tetap pada harga RM328 dan RM388 sehala beberapa destinasi di negeri berkenaan.
Tambang tetap RM328 sehala itu ditawarkan bagi penerbangan antara Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri selain Johor Bahru ke Kuching serta Sibu.
Sementara itu, penerbangan antara Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau selain antara Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada kadar RM388 sehala.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, kerajaan terus komited memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia khususnya pada musim perayaan.
“Inisiatif seperti subsidi tambang siling RM499 serta program FLYsiswa adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan mengurangkan beban kewangan penumpang khususnya mereka yang terbang antara Semenanjung Sabah serta Sarawak.
“Dengan kerjasama rakan industri seperti AirAsia, kerajaan akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan tambang penerbangan berpatutan,” katanya pada Pelancaran Raya Tanpa Sempadan Dengan Tambang Tetap di sini hari ini.
Sempena inisiatif itu, AirAsia menyediakan lebih 16,000 tempat duduk melalui lebih 90 penerbangan lewat malam dengan tambang tetap antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
Menurut Anthony Loke, inisiatif tambang tetap AirAsia sempena Aidilfitri juga merupakan langkah penting dalam menjadikan perjalanan rakyat lebih inklusif selain membolehkan lebih ramai pulang beraya.
Katanya, selain lebih 90 penerbangan lewat malam pada tambang tetap bagi 10 laluan itu, AirAsia juga mengendalikan 287 penerbangan mingguan dengan tambang semasa ke Sabah dan Sarawak bagi menyokong inisiatif kerajaan sepanjang musim perayaan.
“Kerajaan akan terus memberi subsidi kepada pembelian sehala tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan semasa musim perayaan tahun ini dan tahun hadapan.
“Subsidi akan terus digunakan untuk Aidilfitri, Kaamatan, Gawai, dan Krismas,” katanya.
Jelasnya, inisiatif itu akan dipertingkatkan dengan subsidi tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang di laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiket berharga lebih RM499.
“Harga itu tidak termasuk cukai dan yuran selain harga maksimum RM499 adalah pengurangan daripada tambang sebelumnya iaitu RM599,” katanya. – KOSMO! ONLINE