KUALA LUMPUR – Pelakon Che Puan Juliana Evans mengakui mengalami depresi sekiranya tidak sempat meluangkan masa bersama anak-anaknya walaupun hanya dalam tempoh sehari.
Menurut pemilik nama penuh Juliana Sophie Johari Evans, 36, itu, bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, dia akan memastikan jadual kerjanya tersusun dan tidak terlepas walau setiap detik bersama anak-anak yang dianggap sangat berharga.
“Buat masa sekarang, saya masih aktif dengan karier seni tetapi fokus utama tetap pada keluarga.
“Sebenarnya kalau saya tidak sempat jumpa atau tak dapat luangkan masa yang dengan anak-anak, saya akan rasa depresi.
“Saya perlu ada waktu bersama dengan mereka. Namun, masa dengan mereka sekarang ini agak limitasi sebab anak-anak pun bersekolah dan ada banyak aktiviti,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran kedai perhiasan, Gnoce di sini, baru-baru ini.
Bintang filem Hantu Bonceng itu juga mengakui tidak suka tersekat dalam kesesakan lalu lintas kerana berasakan masa yang terbuang itu boleh dihabiskan bersama anak-anaknya di rumah.
Juliana menambah, dia seboleh-bolehnya akan mengelak daripada keluar rumah pada waktu puncak bagi mengelakkan berlaku pembaziran masa di atas jalan raya.
“Saya tak suka tersekat dalam lalu lintas sekarang ini sebab bagi saya sangat buang masa. Masa yang terbuang itu sepatutnya boleh dihabiskan dengan anak-anak.
“Sebab kadang-kadang bila saya sudah sampai rumah sekitar pukul 7 malam, anak-anak sudah nak tidur. Tak cukup masa dengan mereka.
“Jadi, saya akan susun jadual dan memang elak keluar rumah pada waktu jem teruk sebab tak mahu buang masa yang lama,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia juga berusaha untuk menjadi ibu yang hebat dan dilihat sebagai ‘supermom’ oleh anak-anaknya.
Juliana mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah al-Hajj pada 30 April 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 6, dan Tengku Ihsan yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE