fbpx

‘Tak berada di tempat Aina, tapi saya faham apa dia rasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ernie bersimpati dengan Aina yang terpaksa berdepan dengan masalah buli siber dalam media sosial.

PETALING JAYA – Simpati dengan nasib rakan seperjuangan, penyanyi Ernie Zakri memahami situasi dihadapi Aina Abdul yang terpaksa berdepan pembuli siber terutama selepas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Pernah berhadapan situasi sama, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, memaklumkan dia akan mengelak daripada membuka media sosial setiap kali selepas muncul dalam acara besar demi menjaga kesihatan mentalnya.

“Saya dan Aina sering menjadi target buli siber setiap hari. Saya tidak berada di tempat Aina tetapi saya faham apa yang dia rasakan selepas AJL baru-baru ini.

“Perkara tersebut memberi impak sangat luar biasa kepada kesihatan mental. Mungkin dia menjadi target kerana seorang Aina Abdul memiliki nama yang besar dan sedang terbang tinggi hari ini.

“Saya bukan Aina Abdul tetapi saya akan ambil pendekatan untuk tidak buka media sosial selepas lakukan acara besar seperti AJL dan konsert selama empat hari, biar semuanya surut dahulu,” katanya usai majlis sidang akhbar pengumuman konsert 2025 Insomniacks, Ernie Zakri dan Dolla, semalam.

Dalam masa sama, pelantun lagu Aura itu turut mendoakan kejayaan Aina dan berharap penyanyi itu berada dalam keadaan baik.

“Memang sakit bila kita terbaca komen buruk tentang Aina tetapi saya yakin dia seorang yang kuat.

“Ini bukan pertama kali dia kena, sudah tentu memberi kesan. Tidak faham kenapa perkara begini harus terjadi.

“Saya harap Aina berada dalam situasi lebih baik kelak walaupun sekarang pun keadaannya sudah membaik. Saya mendoakan juga kejayaannya Insya-Allah,” ujarnya.

Selain itu, Ernie turut menasihati peminat agar terus menjaga kelakuan dan memberi sokongan padu buat artis kesayangan mereka tanpa perlu menjatuhkan semangat.

“Saya fikir peminat juga memainkan peranan, jika mereka sayangkan seseorang artis, mereka perlu menjaga nama baiknya. Saya tidak kata peminat saya sempurna tetapi tugas saya untuk menasihati mereka.

“Peminat Aina adalah jentera yang akan buat apa sahaja untuk melindunginya. Cuma sebagai artis, berat juga bagi kita untuk baca komen yang bela dan hentam.

“Perang antara peminat sudah lama berlaku, saya tidak tahu bagaimana kita mahu menangani ini tapi saya percaya Aina Abdul seorang yang kuat,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Aina menjadi sasaran kecaman hebat termasuk buli siber dan ‘face shaming’ selepas persembahan pada AJL39.

Aina turut mengakui berjauh hati dengan netizen yang seolah-olah menutup mata terhadap kualiti persembahannya walaupun sudah menyampaikan karya dengan jujur. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI