JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto merasmikan bank emas yang pertama seumpamanya dalam sejarah negara itu di The Gade Tower, Jakarta hari ini, lapor portal berita Detik.
“Hari ini, menjelang 80 tahun kita merdeka, dengan rasa bangga dan pertama kali dalam sejarah Indonesia yang mempunyai rizab emas keenam terbesar di dunia, kita pertama kali memiliki bank emas,” ujar Prabowo ketika acara perasmian.
Bank itu mengendalikan perdagangan, pengurusan dan deposit emas.
Sebelum ini, Prabowo menyatakan bahawa Indonesia akan menubuhkan bank emas.
“Kita akan tubuhkan bank emas. Selama ini kita tidak mempunyai bank untuk menguruskan emas, tidak ada di Indonesia,” kata Prabowo pada minggu lalu.
Sementara itu, Menteri Perusahaan Milik Negara, Erick Thohir menyatakan bahawa emas banyak disimpan di bawah bantal hingga di dalam tandas di negara itu.
Justeru, beliau menggesa masyarakat untuk menyimpan emas milik mereka di bank emas. – AGENSI