fbpx

[VIDEO] Permohonan maaf Sanusi selesaikan kes saman Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (kanan) dan Muhammad Sanusi ketika tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Kes saman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebanyak RM10 juta terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selesai dengan baik di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Ini selepas Muhammad Sanusi, 51, sebagai defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam kamar mahkamah terbuka sebagai salah satu terma penyelesaian kes saman berhubung kenyataan berunsur fitnah mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Hakim Rozi Bainun memutuskan demikian selepas persetujuan antara kedua-dua pihak dan menerima surat permohonan maaf oleh Muhammad Sanusi kepada Amirudin, 45, sebagai plaintif.

“Kes selesai dan ditutup sepenuhnya,” tegasnya.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan maaf Mohamad Sanusi disiarkan kepada umum dan hanya direkodkan di mahkamah sahaja.

Terdahulu, Peguam Mohd. Haijan Omar mewakili plantif memaklumkan hari ini sepatutnya prosiding pertama perbicaraan, namun sukacitanya memaklumkan bahawa pihak-pihak telah mencapai kata putus serta bersetuju memasukkan satu penghakiman persetujuan kepada mahkamah.

Katanya, ini berdasarkan terma iaitu defendan membuat permohonan maaf secara umum kepada plaintif dengan membaca penyataan maaf di Mahkamah Terbuka pada tarikh penghakiman persetujuan direkodkan (hari ini).

“Defendan juga memberi akujanji tidak akan menerbitkan, membantu, mengulangi dan menyebabkan diterbitkan kata-kata seakannya pada masa depan.

“Persetujuan dan terma-terma di atas penyelesaian penuh dan muktamad antara plaintif dan defendan. Selain itu, tiada kos dalam penghakiman persetujuan ini,” katanya.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusof mewakili defendan tidak membantah mengenainya.

Terdahulu Amirudin dilapor memfailkan saman pada 30 Ogos lalu terhadap Muhamad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Perikatan Nasional (PN) itu yang mendakwa beliau mempunyai skandal melibatkan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

Saman terhadap Menteri Besar Kedah itu dibuat oleh Amirudin selepas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu dikatakan memfitnahnya menyerahkan tanah seluas 243 hektar di Selangor kepada Vincent Tan.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan Amirudin dan Vincent Tan terlibat dalam perniagaan yang korup dan memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Ia termasuk tuduhan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bakal mengalami kerugian sehingga RM180 juta jika Vincent Tan diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI