DOHA – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila mereka terpaksa duduk di sebelah mayat semasa penerbangan selama empat jam di dalam sebuah pesawat Qatar Airways, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku ketika Mitchell Ring dan isterinya, Jennifer Colin dalam perjalanan ke Venice, Itali dari Doha sebelum seorang penumpang rebah semasa di udara.
Meskipun wanita itu dibantu oleh kru kabin, dia gagal diselamatkan. Mayatnya yang ditutup dengan kain kemudian diletakkan di tempat duduk kosong bersebelahan Ring dan Collin.
Ring berkata: “Mereka (kru) cuba memindahkan mayat ke tempat duduk kosong bersebelahan kami.”
Tambahnya, mereka turut diarah berganjak sedikit bagi memberi ruang kepada mayat penumpang berkenaan, menyebabkan suami isteri itu berasa trauma sepanjang lebih empat jam penerbangan.
Pasangan dari Australia itu menambah, mereka diabaikan oleh kru kabin, malah tidak ditawarkan untuk berpindah ke tempat duduk lain.
“Tiada seorang daripada syarikat penerbangan itu menghubungi kami selepas insiden tersebut,” tambah Ring.
Susulan dakwaan itu, jurucakap Qatar Airways berkata: “Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan sedang dalam proses untuk menghubungi penumpang berdasarkan dasar dan prosedur kami.” – AGENSI