fbpx

‘Pempengaruh kena belajar bercakap dengan orang, baiki komunikasi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zarina menasihatkan pempengaruh muda agar sentiasa mendahulukan adab dalam apa jua keadaan.

KUALA LUMPUR – Mementingkan adab, penyanyi Sharifah Zarina tidak berkompromi terhadap sahsiah diri anak-anaknya dengan memberikan teguran andai mereka terkasar bahasa termasuk dalam media sosial.

Sharifah Zarina atau nama sebenarnya Sharifah Zarina Wan Hassan, 44, berkata, generasi masa kini terlalu santai dalam percakapan mereka sehingga menganggap setiap perkara sebagai hal biasa.

“Orang muda sekarang terlalu santai sampai kadang-kadang mereka tak sedar jika tersalah cakap. Anak saya, Athalia Deena Buswani pun pempengaruh, kalau saya rasa dia salah, saya akan tegur dan marah.

“Mereka ini semua rasa perkara kena relaks sahaja. Apabila saya marah, baru anak-anak saya tahu mereka buat silap. Anak muda sekarang terutama pencipta kandungan kena belajar bercakap dengan orang dan perbaiki kemahiran komunikasi.

“Bukan sekadar berbual di telefon, cakap dalam aplikasi TikTok atau buat kandungan syok sendiri yang tanpa sedar menyakiti hati orang lain,” katanya selepas sidang media projek Lagu Seluloid Volume 2, di Aswara, semalam.

Penyanyi Langit Ke Tujuh itu turut menitipkan pesanan kepada pempengaruh agar memikirkan sensitiviti pihak lain tanpa sesuka hati memetik nama individu tertentu dalam konten dibuat.

“Siapa tidak marah kalau tiba-tiba nama dipetik melainkan kalau membabitkan perkara positif. Walaupun ada kata kita kena ‘chill’ sahaja, tapi individu yang terasa namanya dipetik berhak untuk marah,” ujarnya.

Sebagai artis yang mempunyai dua dekad pengalaman di arena hiburan, dia mengakui populariti boleh lenyap dalam tempoh singkat andai diri dipenuhi sifat bongkak selain enggan menurunkan ego.

“Saya pernah merasa zaman di mana semua orang nak jumpa saya sampai tak boleh keluar rumah. Sebab lagu saya dulu memang sangat popular.

“Saya pun pernah merasa zaman kejatuhan dan orang tak peduli pun. Kemasyhuran bersifat sementara, jadi walau di mana pun kita berada, berbuat baiklah sesama insan. Jaga lisan kita,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengulas mengenai sikap tidak peduli segelintir pempengaruh yang kurang beradab apabila ‘menjual’ nama orang lain demi tularkan konten dibuat.

Mengenai projek Lagu Seluloid Volume 2, Sharifah Zarina teruja apabila diberi peluang terbabit dalam misi mengangkat seleksi emas dari filem Melayu Klasik tahun 1950 sehingga 1959.

“Saya membuat persiapan lebih sebulan bagi memastikan dapat menyampaikan tiga dendangan klasik itu sebaik mungkin,” kongsinya.

Lagu Seluloid Volume 2 adalah projek pengarkiban pendigitalan dan rakaman semula (secara digital) yang turut menampilkan Aqasha, Ayu Damit, Azizul Haqim, Ezdianie Hayatie dan Idris Brown. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI