PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran seramai 13 pegawai kanan berkuat kuasa pada 7 April ini.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, pertukaran itu melibatkan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus yang dilantik Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah (KPP) E8, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner (DCP) Normah Ishak dinaikkan pangkat Timbalan Pengarah Cawangan Khas II dengan memangku pangkat Komisioner (CP).
“Senior Asisten Komisioner (SAC) Saifullizan Ishak yang menjawat jawatan KPP (Risikan/Operasi), Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat DCP.
“Penolong Pengarah E8A Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Azman Abd. Razak pula dilantik sebagai KPP E8 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamaruzaman berkata, Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner (ACP) Rozita Md. Don dilantik sebagai KPP Pengurusan Pelesenan Am/Jawatankuasa Penyiasat (CE) jabatan sama dengan pangkat SAC.
Ketua Jabatan Cawangan Khas Negeri Sembilan, ACP Faizal Ibrahim ditukarkan ke jawatan Ketua Cawangan Khas Selangor dengan memangku pangkat SAC.
Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Pahang, ACP Nasri Mansor pula ditukarkan sebagai Ketua Staf Pasukan Khas, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan memangku pangkat SAC.
Seramai enam lagi pegawai berpangkat Superintendan akan memangku pangkat ACP dan bertukar ke beberapa jabatan dalam PDRM bermula tarikh sama. – KOSMO! ONLINE