PETALING JAYA – Polis mengesahkan penunggang wanita hilang kawalan sebelum maut tercampak ke bawah jejambat Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Sharulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 6.50 petang.
“Hasil siasatan mendapati mangsa wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai hilang kawalan semasa melalui jalan berselekoh.
“Motosikal mangsa telah berlanggar dengan sebuah kereta yang berada di hadapannya. Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah tercampak dan jatuh ke bawah ‘flyover’,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.- KOSMO! ONLINE