fbpx

Masih tiada petunjuk selepas 60 jam Hud Aryan hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menjalankan operasi mencari di kawasan hutan berhampiran rumah nenek Hud Aryan di Kampung Aira, Kuala Tiga dekat Tanah Merah hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

TANAH MERAH – Pencarian Hud Aryan Mohd. Nor Hafifi ketika ini masih samar-samar apabila tiada sebarang petunjuk yang boleh menjejak kanak-kanak itu selepas 60 jam hilang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, pihaknya belum menemui sebarang petunjuk sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan bermula kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Menurutnya, tumpuan anggota penyelamat adalah di dalam radius sejauh kira-kira tiga kilometer iaitu sekitar hutan dan Sungai Aira menyusur ke Sungai Kelantan yang terletak berhampiran rumah neneknya.

“Buat masa ini, kehilangan Hud Aryan masih belum dapat dikaitkan dengan kes jenayah. Siasatan dijalankan menjurus ke arah kehilangan kanak-kanak itu.

“Operasi masih dijalankan melalui dua kaedah iaitu pencarian mangsa dan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Kampung Aira, Kuala Tiga di sini hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, dua ekor anjing K9 iaitu Epo dan Eros membantu operasi mencari mangsa dalam tempoh satu hingga dua jam sebelum direhatkan.

Menurutnya, seramai 60 anggota termasuk pegawai dan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedang giat melakukan pencarian mangsa.

Tambahnya, orang ramai juga diharap tidak menyebarkan sebarang berita yang boleh mengelirukan keluarga kerana mereka masih dalam keadaan sedih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI